Jangan Cemuh Dan Kutuk Proton. APABILA Proton mengumumkan model terbaru Perdana, ramai yang respon
dengan negatif terhadap rupa bentuk model tersebut yang mirip Honda
Accord.
Seperti biasa, cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada Proton di atas
pengeluaran model ini. Saya suka untuk memberi pandangan berdasarkan
beberapa fakta berikut:
1- Saya kurang senang mendengar kritikan serta cemuhan terhadap Proton
ini, tatkala pada masa yang sama apabila Kia mengeluarkan model seakan
Audi, ramai yang memuji, juga tatkala Honda mengeluarkan model Accord
2011 yang seakan Audi, ramai juga yang memuji dan membelinya. Bahkan
Mazda 6 tahun 2013 juga mirip Lexus, tiada pula yang mencemuh. Mentaliti
sebegini wujud sifat dualisma, di mana berlakunya tindakan pilih kasih
dalam kritikan.
2- Proton Suprima S adalah satu contoh model yang direka sendiri. Tidak
meniru hasil orang lain. Namun bagaimanakah prestasi jualannya? Tidak
memberangsangkan. Pengkritik tetap membandingkan Proton dengan Honda,
Kia Rio dan seumpamanya. Tapi apabila model yang dikeluarkan mirip
Honda, mereka mengutuk pula. Perkara ini saya membuatkan saya tidak
faham.
3- Ramai pengkritik tidak memahami hakikat industri automotif yang
‘super-kompetetif’. Kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2006
pernah ditutup selama empat minggu kerana tiada permintaan. Majikan lama
saya, Ford Australia di Geelong baru-baru ini telah mengisytiharkan
mereka akan menutup kilang mereka mulai tahun 2016 kerana mengalami
kerugian yang cukup besar, di mana mereka telah mengumpul kerugian
sebanyak AUD$600 juta sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ford telah
bertapak di Australia selama 90 tahun, jadi bagaimanakah pula agaknya
Proton yang hanya 1/3 usia berbanding Ford Australia berdepan dengan
cabaran ini?
4- “Rebadging” atau penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang aib dalam
industri automotif. Pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors
(GM), telah melakukan strategi ini terhadap puluhan model kenderaan
mereka. Cuba bandingkan Chevrolet Tahoe dengan Cadillac Escalade, dan
Chevrolet Lumina dengan Holden Redline, kita akan nampak jelas bahawa
perbezaannya hanya pada lambang jenama dan hiasan dalaman. Benar,
jenama-jenama ini di bawah satu syarikat yang sama iaitu GM, namun dari
sudut strategi, tidak ada bezanya antara kedua ini. Bahkan kritikan yang
sama tidak pula diberikan kepada Perodua di atas strategi mereka
“rebadging” model Myvi dan Daihatsu/Toyota, hanya kerana mereka ada
kerjasama rasmi dengan Toyota. Model Perdana yang baru ada kerjasama
dengan Honda bahkan Saga yang pertama dahulu pun ada kerjasama dengan
Mitsubishi. Kritikan yang “pilih kasih” menyebabkan Proton menjadi
ibarat “punching bag”. Buat apa pun dikira salah.
5- Mungkin yang terbaik ialah tutup sahaja Proton, agar tidak ada lagi
“punching bag” tempat melepas geram dan kemarahan. Mungkin yang terbaik
ialah rakyat Malaysia hidup seperti negara Timur Tengah yang hanya
menjadi pelanggan kepada jenama-jenama kereta terbaik dunia. Tak payah
susah-susah buat kereta sendiri.
Namun saya rasa seandainya Proton ditutup, akan wujud laungan kemarahan
yang baru iaitu “Mengapa Malaysia tidak ada kereta sendiri?”
Akhir kata, saya mengharapkan satu perubahan dalam mentaliti sesetengah
rakyat Malaysia. Buat pengetahuan semua, saya sendiri tidak pernah
membeli Proton, tetapi saya mengambil sikap berpada-pada dalam kritikan
dengan mengetahui besarnya cabaran syarikat kecil Proton dalam
persaingan industri automotif dunia. Dengan cabaran masa kini, Proton
tak “bungkus” pun dah kira mujur.
Ya betul, jika anda tidak menyukai Proton atau merasakan Proton tidak
sesuai dengan gaya hidup anda, tak perlulah membelinya. Tindakan anda
tidak membeli Proton telah pun memberi mesej jelas “Saya tak suka
Proton”. Namun, yang saya kecewa ialah sikap sesetengah insan yang
sudahlah tidak membeli Proton, malah melemparkan cemuhan dan kebencian
yang amat kepada Proton, sehinggakan orang yang asalnya ingin membeli
Proton pun tak jadi membelinya. Ini ibarat mencurah cuka ke dalam luka.
Engr. Hj Norzafry B Norhalim
Mantan Presiden Pembina
Norzafry adalah seorang jurutera muslim berjiwa besar, merupakan
graduan kejuruteraan di sebuah universiti di Australia. Kini berkhidmat
di salah sebuah syarikat besar di Arab Saudi. Pernah menjadi Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) bagi tahun 2011/2012
Apa relevannya, Proton,kereta nasional yang tidak boleh bersaing di peringkat antarabangsa dan membebankan rakyat dengan Dasar Automotif Negara melindunginya.Disebabkan Dasar Automotif Negara harga kereta melambung naik menjadikan harga kereta di Malaysia kedua termahal di dunia selepas Singapura.
ReplyDeleteTerima kasih Azaharil Anuar atas komen tuan, Saya cuma nak respon harganya bagi model perdana baru belum di ketahui lagi, Saya sokong harga lebih berdaya saing dengan model di pasaran dan adalah lebih baik lebih rendah dari harga kereta lain.
Delete